Rahsia Kejayaan Pelancaran Buku Di Malaysia
top of page

Rahsia Kejayaan Pelancaran Buku Di Malaysia

Setiap pengarang muda mengidamkan untuk memperkenalkan karya mereka dengan cara yang berkmakna. Seperti tempat lain. Keraian seperti itu adalah agak eksklusif pada mulanya di Malaysia, namun dengan kebangkitan peneribt bebas ramai penulis muda kini mampu merayakan kelahiran penulisan mereka dalam suasana yang sederhana seadanya. Bagi memastikan acara yang dianjurkan mendapat sambutan baik, anda perlu menjawab beberapa persoalan asas.



Berapa?

Berapa banyak kos perlu saya belanjakan?

Jika anda adalah pengarang kecil-kecilan, inilah soalan pertama yang perlu dijawab. Anda perlu memikirkan soal seperti sewaan tempat dan bahan promosi. Ambil maklum bahawa pelancaran buku yang berjaya tidak semestinya perlu bersifat mewah atau besar-besaran. Dengan menggunakan kaedah yang ringkas namun kreatif, acara itu masih mampu dinikmati oleh mereka yang hadir. Jika anda bernaung di bawah syarikat penerbitan, kebiasaannya mereka akan menguruskan perkara itu walau pun anda masih perlu menyumbang sedikit wang bagi membantu mereka membuat persediaan.

Berapa ramai perlu saya jemput?

Bagi majlis yang dijalankan di kawasan yang kecil atau eksklusif, kehadiran adalah melalui jemputan sahaja. Hal ini sesuai jika anda mahukan acara yang bersifat peribadi melibatkan keluarga dan rakan-rakan. Namun, jika ia dibuat di kawasan awam seperti pusat membeli-belah atau semasa pesta buku, besar kemungkinan ia akan dibuka kepada orang ramai yang berminat. Anda digalakkan untuk memilih cara ini jika anda mahu mempromosikan dan menyebarluaskan karya anda itu.


Apa?

Apa yang perlu saya sediakan?

Sebelum acara bermula, sebarkannya secara meluas di setiap platform media sosial yang ada, tak kira sama ada acara itu bersifat peribadi atau umum. Labih banyak perhatian yang ditarik, lebih meluas acara itu akan tersebar.

Selain daripada jadual waktu, anda perlu menyediakan ucapan alu-aluan pada awal acara. Persediaan rapi juga adalah perlu jika ada hadirin yang ingin membeli buku secara terus daripada anda. Pastikan anda menyediakan pilihan pembayaran yang fleksibel (tunai atau elektronik). Anda boleh juga menawarkan diskaun atau hadiah percuma dengan setiap pembelian.

Bila?

Bila perlu saya anjurkan acara itu?

Kebanyakan penerbit akan menganjurkan acara pelancaran buku pada hujung minggu. Sudah jelas hal ini kerana lebih ramai yang akan dapat turut serta. Sungguh pun jika ia terpaksa diadakan pada hari bekerja, mereka sering memilih masa yang sesuai, seperti selepas waktu bekerja atau semasa waktu makan tengah hari. Jika anda menganjurkannya secara bebas, adalah lebih baik jika anda bertanyakan keberadaan mereka yang ingin anda jemput. Perkara ini akan mengelakkan kehadiran yang sedikit kelak.


Di mana?

Di mana perlu saya anjurkan acara itu?

Terdapat banyak pilihan untuk anda teliti. Anda boleh anjurkan pelancaran buku itu di kedai buku atau perpustakaan. Anda juga boleh adakannya di tempat yang santai atau kasual seperti kafe atau bilik majlis. Namun begitu, lokasi yang paling sesuai haruslah mudah dicapai oleh ramai orang. Carilah tempat yang hampir dengan stesen LRT atau MRT, serta memiliki ruang letak kenderaan serta kemudahan yang mencukupi.

Ada satu tempat istimewa bagi pelancaran buku yang amat didambakan oleh ramai pengarang Malaysia: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Dihadiri oleh puluhan ribu pengunjung setiap tahun, PBAKL adalah tempat yang paling ideal jika anda ingin memastikan pendedahan terhadap karya anda yang boleh menjangkau ke serata negara. Jika mendapatkan slot di pentas utama agak mustahil, anda boleh saja melancarkan buku di reruai milik penerbit anda.


Pelancaran buku yang berjaya haruslah diuruskan dengan baik. Maka, pastikan anda mengatur segalanya dari awal hingga akhir supaya perjalanannya lancar dan anda serta mereka yang hadir akan dpaat menikmatinya.


SOURCE/SUMBER:

Bradshaw, C. (n.d.). 9 handy tips for planning a successful book launch. Retrieved May 7, 2021, from https://writersedit.com/self-publishing/9-handy-tips-planning-successful-book-launch/

Friedlander, J. (2013). 12 tips for successful book launch parties. Retrieved May 4, 2021, from https://www.thebookdesigner.com/2013/06/12-tips-for-book-launch-parties/

Guide to book launch event. (2020). 20 Bedford Way. Retrieved May 6, 2021, from https://20bedfordway.com/news/book-launch-events/

bottom of page